Sunday, October 2, 2011

KENYATAAN MEDIA PERSATUAN SAMA SABAH


KENYATAAN MEDIA PERSATUAN SAMA SABAH

PERSATUAN SAMA MAHU JAWATAN
MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU DIGILIRKAN KEPADA BAJAU SAMA

Persatuan Sama Sabah ( PSS ) mahu agar Kerajaan Negeri terutamanya Ketua Menteri Sabah memberikan peluang kepada suku kaum Bajau Sama untuk menjadi Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selepas tempoh Datuk Illias Ibrahim , penyandang jawatan Mayor sekarang berakhir pada awal tahun depan . Demikian kata Encik Saibeh  Haji Mansor , Setiausaha Agung Persatuan Sama Sabah .
            Menurut Saibeh Haji Mansor , Persatuan Sama Sama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusatnya di Kota Kinabalu pada hujung minggu lepas telah membincangkan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan dan kebajikan kaum Bajau Sama . Antaranya termasuklah kuota dan kedududkan suku kaum Bajau Sama didalam pelbagai bidang khasnya Perkhidmatan Awam di Negeri ini yang semacam telah dipinggirkan .
            ‘Perlu diambil perhatian bahawa suku kaum Bajau Sama adalah merupakan penduduk kedua terbesar di Negeri Sabah  selepas kaum Kadazandusun . Pada masa kini kaum Bajau Sama adalah penduduk Bumiputera Islam yang terbesar dan tinggal di persisiran  pantai negeri ini daripada Kuala Penyu , Papar , Putatan , Kota Kinabalu , Tuaran , Kota Belud , Kota Marudu , Pitas , Beluran , Sandakan, Kinabatangan , Lahad Datu , Kunak , Semporna hinggalah ke daerah Tawau . Selain itu , kaum Bajau Sama ada juga yang  tinggal di daerah pendalaman seperti Keningau dan Tenom’,  kata Encik Saibeh .
            Encik Saibeh Haji Mansor selanjutnya menambah , ‘ dalam kajian Persatuan Sama Sabah ( PSS ) selaku penduduk Islam yang terbesar kaum Bajau Sama adalah di negeri ini dan tidak kurang 95 peratus telah menyertai parti UMNO dan BN  . Ini bermakna  dari segi politik , suku kaum Bajau Sama adalah merupakan tunjang kekuatan parti itu . Persoalannya , mengapakah kedudukan dan kepentingan  kaum Bajau Sama semacam telah dipinggirkan oleh Kerajaan masa kini ?
            Dalam hubungan ini , Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat PSS telah membangkitkan tetang kedudukan serta kuota para penjawat awam dari kalangan suku kaum Bajau Sama di negeri ini . PSS turut mempersoalkan bahawa jawatan – jawatan utama dan strategic di dalam Perkhidmatan Awaam hanya telah dimonopoli oleh beberapa kaum tertentu sahaja . Sementara kepentingan dan tempat bagi suku kaum Bajau Sama selaku tunjang kepada parti pemerintah negeri seolah-olah dilupakan dan tidak diambilkira  langsung .
            Dalam hubungan ini , PSS meraju perhatian dan pertimbangan Kerajaan Negaeri Sabah di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri , Datuk Musa Haji Aman supaya bakal pengganti kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu digilirkan kepada suku kaum Bajau Sama . Rayuan ini dibuat setelah mengambilkira bahawa kaum-kaum lain seperti Cina , Kadazandusun  dan Brunei telahpun diberikan peluang untuk menjadi Ketua Pentadbir Kota Kinabalu iaitu bermula sebagai Pegawai Daerah , Presiden dan kini Mayor Bandaraya . Sementara belum pernah ada dari kalangan kaum Bajau Sama yang pernah di lantik  ke jawatan-jawatan tersebut .
            ‘Perlulah diambil perhatian  bahawa Bajau Sama adalah merupakan antara tiga kaum penduduk terbesar di Kota Kinabalu selain daripada  masyarakat kaum Cina dan Kadazandusun . Ramai  kaum Bajau Sama yang tinggal di daerah  Kota Kinabalu iaitu di Sembulan , Tanjung Aru , Kepayan , Petagas , Putatan , Likas , Bangka-Bangka , Inanam , Rampaian , Darau , Tebobon , Gudon , Indah Permai , Unggun , Menggatal , Karambunai , Salut dan taman-taman  perumahan sekitar Kota Kinabalu ‘ , kata Saibeh.
            Jesteru , PSS berpendapat Kerajaan Negeri wajarlah mengilirkan pula penjawat jawatan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu itu kepada para pegawai yang bersesuaian dari kalangan Bajau Sama . ‘ PSS menekankan bahawa memang ada para pegawai Kerajaan dari kalangan suku kaum Bajau Sama yang pernah berpengalaman sebagai Pegawai Daerah , Ketua Jabatan  atau Pengarah , Setiausaha Tetap dan sebagainya . PSS yakin di antara mereka memang mampu dan boleh mentadbir selaku Mayor Bandaraya Kota Kinabalu jika diberi ruang dan peluang ‘ , kata Saibeh Haji Mansor .
            Encik Saibeh selanjutnya berkata ‘ di masa lalu  para penjawat awam memang ada yang dilantik sebagai Timbalan Setiausaha   Kerajaan Negeri , Pengarah Perjawatan , Setiausaha Tetap , Pengarah dan Pengurus-Pengurus Besar bagi Agensi-Agensi Kerajaan . Masa kini kita difahamkan memang masih ada . Akan tetapi bilangannya terlalu kecil . Itupun mereka hanya dilantik sebagai Ketua atau Pengarah bagi jabatan-jabatan kecil yang kurang penting . ‘
            Menurut PSS , scenario yang samajuga dilihat berlaku kalangan perlantikan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi peringkat Persekutuan di Negeri Sabah . Ia termasuklah perlantikan para pegawai di peringkat daerah seperti Pegawai Pelajaran , Pengetua- Pengetua , Guru-Guru Besar dan sebagainya . Bilangan pegawai dari suku kaum Bajau Sama amat kecil bilangannya .
            Sehubungan dengan itu , PSS berharap agar Kerajaan Negeri Sabah dapat mengkaji semula dan membetulkan keadaan yang tidak sepatutnya berlaku ini . Dengan erti kata lain , PSS meminta kepada Kepimpinan Kerajaan Negeri khasnya Yang Amat Berhormat Ketua Menteri agar tidak membiarkan  kepentingan dan kedudukan suku kaum Bajau Sama terus terpinggir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sabah .
            Menurut Encik Saibeh yang berasal dari daerah Kota Belud , ‘ Persatuan Sama Sabah bukanlah mahu bersifat perkauman . Tetapi PSS mahukan sumbangan , kepentingan dan kedudukan kaum Bajau Sama diberi perhatian dan tempat sewajarnya ‘. Lihat sahajakeadaannya ketika ini . Negeri Sabah ada mempunyai 30 daerah termasuk Perbandaran dan Bandaraya Kota Kinabalu . Yang ramai telah dilantik sebagai Pegawai Daerah ialah suku kaum seperti Kadazandusun , Cina , Brunei , Jawa , Rungus  dan Irranun . Malangnya tidak ada seorang pun dari kalangan suku kaum Bajau Sama telah dilantik selaku Pegawai Daerah pada masa kini . Situasi ini amat memeranjatkan serta menyedihkan kaum Bajau Sama khasnya PSS’ ,  kata Encik Saibeh .
            Untuk jawatan Setiausaha Tetap Kementerian misalnya , hanya ada seorang sahaja penjawat jawatan tersebut daripada suku kaum Bajau  yang mana berasal daripada Semporna . Sementara Setiausaha Tetap kaum Kadazandusun ada 4 orang , peranakan Jawa ada 2 orang, Brunei seorang , Cina seorang  dan peranakan Pakistan seorang . ‘ PSS melihat pembahagian kuota bagi suku kaum Bajau Sama  ketika ini adalah tidak berpatutan dan seimbang dengan kedudukannya sebagai penduduk Bumiputera kedua terbesar di Negeri Sabah ‘ , kata Saibeh Haji Mansor selanjutnya.

No comments:

Post a Comment